Enam projek Sekolah Angkat MADANI di SMK Clifford siap sepenuhnya
KUALA LUMPUR – Enam projek pembangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar di bawah Inisiatif Sekolah Angkat MADANI oleh Kementerian Ekonomi telah disiapkan sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi pada 11 Disember lalu.
Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan memaklumkan, projek berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM100,000 dan berjaya dilaksanakan sepenuhnya dari segi fizikal serta kewangan hasil kerjasama erat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Clifford.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan projek berkenaan memberi impak langsung kepada pengukuhan ekosistem pendidikan sekolah, selain menyokong pembangunan murid secara holistik selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Inisiatif ini menekankan pembangunan modal insan, pendigitalan pembelajaran serta usaha merapatkan jurang pendidikan antara wilayah, khususnya melibatkan sekolah di luar bandar,” menurut kenyataan itu.
Antara projek utama yang telah disiapkan termasuk penaiktarafan Bilik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Kelas Pintar Tingkatan Enam, penambahbaikan kemudahan ICT dan Internet sekolah, pembinaan Studio Green Screen, Taman dan Laluan STEM serta Bilik Kaunseling.
Majlis penyerahan projek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Badrul Hisham, yang mewakili kepimpinan tertinggi kementerian.
Menurut beliau, pelaburan dalam sektor pendidikan bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, sebaliknya merupakan usaha jangka panjang dalam melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berdaya cipta dan berdaya saing bagi menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelaksanaan Inisiatif Sekolah Angkat MADANI secara bersasar dan berimpak tinggi, bagi memastikan setiap anak Malaysia memperoleh akses pendidikan yang adil, berkualiti dan saksama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








