PDPR tidak akan dilaksana, sekolah berjalan seperti biasa – Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR– Kementerian Pendidikan menegaskan tiada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) buat masa ini, sebaliknya sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keutamaan kementerian adalah memastikan pembelajaran murid tidak terjejas dan sebarang keputusan besar berkaitan sistem pendidikan perlu diteliti secara menyeluruh serta dibincangkan terlebih dahulu.
Menurutnya, pengalaman ketika pandemik Covid-19 sebelum ini turut menjadi pengajaran penting kepada kerajaan dalam memastikan aspek pembelajaran anak-anak diberi perhatian sewajarnya.
“Setakat ini tidak ada PDPR dan kita akan teruskan persekolahan seperti biasa. Tumpuan kita adalah kepada pembelajaran anak-anak dan keputusan-keputusan besar seperti ini mesti diteliti serta dibawa kepada perbincangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama media dan sesi pembentangan Program Tekad Reformasi Pendidikan (TEKAD), di Permata Kurnia, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan masyarakat berhubung kemungkinan pelaksanaan semula PDPR.
Dalam pada itu, beliau berharap penjelasan tersebut dapat meredakan kegusaran orang ramai dan membolehkan ibu bapa serta pelajar kembali memberi tumpuan kepada pembelajaran di sekolah.
“Saya harap dengan penjelasan ini masyarakat dapat kembali memberi fokus kepada pembelajaran anak-anak dan seterusnya membuat persiapan menyambut Hari Raya,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk meneliti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR), beliau berkata perkara itu masih dalam penelitian kerajaan dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kemudian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








