Jerebu: KPM kembali guna PTJK, sekolah ditutup apabila IPU cecah 200
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), termasuk menutup sekolah apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan jerebu dilaksanakan berdasarkan panduan kebangsaan serta kepakaran masing-masing.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini, susulan pelbagai persoalan dan pandangan ibu bapa berhubung keputusan menetapkan ambang penutupan sekolah pada bacaan IPU 200.
“Kebimbangan terhadap kesan jerebu terhadap kesihatan murid perlu diberi perhatian, namun keputusan membabitkan jutaan pelajar turut memerlukan pertimbangan menyeluruh.
“Apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan tentang keadaan jerebu, sudah tentu kita ambil serius. Kita pilih untuk lebih berhati-hati sebab yang kita nak jaga ini anak-anak kita sendiri,” katanya.
Pihaknya memahami terdapat ibu bapa yang mahu sekolah ditutup lebih awal bagi melindungi kesihatan anak-anak, manakala sebahagian lagi bimbang murid akan ketinggalan dalam pelajaran.
Beliau mengakui perubahan keputusan berkaitan penutupan sekolah turut memberi kesan kepada ibu bapa yang perlu bekerja dan menghadapi kesukaran mengatur penjagaan anak apabila sekolah ditutup secara tiba-tiba.
Justeru, katanya, KPM mendapatkan semula pandangan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum memutuskan untuk kembali berpandukan PTJK.
Mengulas perbezaan tindakan mengikut bacaan IPU, beliau menjelaskan bahawa setiap tahap pencemaran udara mempunyai langkah pengurusan tersendiri dan tidak semestinya memerlukan tindakan yang sama.
“Contohnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang.
“Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta,” katanya.
Bagaimanapun, Fadhlina berkata, ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak masing-masing dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Menurutnya, langkah berkenaan mengambil kira keadaan kesihatan murid yang berbeza, terutama mereka yang mempunyai asma atau masalah pernafasan dan lebih mudah terkesan akibat pencemaran udara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memastikan murid tidak terus kehilangan masa pembelajaran, selain mengingatkan pengalaman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan kesukaran untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal.
Pihaknya juga akan terus mengambil kira pandangan masyarakat dan merujuk kepakaran agensi berkaitan dalam membuat keputusan bagi menangani situasi jerebu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








