Pengerusi PERDA tidak mengaku salah 15 tuduhan rasuah
GEORGETOWN – Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shaik Hussein Mydin mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan rasuah berkait projek pembinaan asrama dengan suapan berjumlah lebih RM800,000.
Beliau membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan ke atasnya dihadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, lapor TVS.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) daripada pengarah syarikat ATSH Management Sdn Bhd (ATSH) R Albert Suresh.
Suapan itu sebagai upah kepadanya bagi melantik syarikat ATSH sebagai subkontraktor kepada syarikat AISB dalam projek menyiapkan asrama dan kemudahan Perda-Tech di Seberang Perai Selatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Bandar Perda, Jalan Perda Selatan di Seberang Perai Tengah antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar dan Lim Jin Hong.
Shaik Hussein yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Hasnal Rezua Merican, Shamsher Singh Thind, Simon Ton Heng Jin, Mohd Shahrullah Khan, Muzzammil Merican dan Intan Nur Alia.
Tertuduh dibenar ikat jamin RM300,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan.
Kes akan disebut semula 8 Januari depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








