BERITA SEMASA

Lembaga Adat Luak Jelebu dakwa pemasyhuran Azrin Khairi sebagai Undang ke-17 tidak sah

KUALA KLAWANG – Lembaga Adat Luak Jelebu mendakwa pemasyhuran Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti semalam tidak sah kerana didakwa tidak mengikut aturan adat purba luak berkenaan.

Dalam kenyataan media hari ini, lembaga itu mendakwa berlakunya pelanggaran aturan warisan apabila istiadat pemasyhuran atau pemasyhuran yang membelakangkan institusi adat di peringkat luak, iaitu telapak waris, disifatkan tidak mematuhi susur galur ketetapan adat.

“Tindakan mengetepikan institusi adat di peringkat luak, termasuk telapak waris, turut menimbulkan persoalan berhubung pematuhan terhadap aturan warisan yang diamalkan secara turun-temurun.

“Pemasyhuran tersebut adalah tidak sah dan tidak diiktiraf mengikut lunas serta aturan adat purba Luak Jelebu,” kata kenyataan itu.

Lembaga berkenaan turut merujuk kepada Adat Perpatih dan Garis Panduan Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Undang Luak Jelebu sebagai asas dalam menentukan kesahihan proses berkaitan institusi adat tersebut.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu memaklumkan laporan polis telah dibuat oleh Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu pada 12 Oktober lalu bagi membantah penganjuran istiadat berkenaan.

Lembaga itu turut mempersoalkan sebarang keputusan awal yang didakwa mengetepikan institusi Undang Luak Jelebu sedia ada, sambil menegaskan perkara tersebut masih tertakluk kepada pertikaian dari sudut undang-undang dan adat yang belum diselesaikan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, anak buah Luak Jelebu dan masyarakat umum diminta supaya tidak terkeliru dengan pemasyhuran tersebut sementara pertikaian berkenaan masih berbangkit.

“Lembaga Adat Luak Jelebu akan terus mempertahankan kedaulatan aturan adat yang tulen bagi memelihara maruah, keutuhan dan keharmonian institusi beraja serta institusi luak daripada sebarang cubaan campur tangan yang melanggar tradisi turun-temurun,” tambahnya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button