POLITIK

13 pemimpin akar umbi DAP kritik label ‘ulama suu’ terhadap Syaikh Ali Juma’ah

KUALA LUMPUR – Seramai 13 ahli dan pemimpin akar umbi DAP membantah kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang melabel Syaikh Ali Juma’ah sebagai ulama jahat atau ulama suu.

Mereka dalam kenyataan bersama berpandangan penggunaan gelaran sedemikian tidak wajar dijadikan alat dalam pertikaian politik, lebih-lebih lagi apabila membabitkan tokoh agama yang mempunyai latar belakang keilmuan Islam.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menyebabkan kepakaran dan sumbangan seseorang tokoh dalam tradisi keilmuan Islam dipertikaikan.

“Jangan sampai perbezaan politik menyebabkan kita mudah menghukum ulama yang tidak sehaluan dengan kita.

“Perjuangan Islam bukan hanya melalui politik kepartian, tetapi turut merangkumi pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan khazanah keilmuan Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap kecenderungan menggunakan sentimen politik dalam membincangkan kedudukan ulama, termasuk tokoh yang dikaitkan dengan aliran sufi dan tradisional.

Menurutnya, pendekatan sedemikian bukan perkara baharu, namun perkembangan yang didakwa turut berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) menimbulkan kebimbangan mereka.

Sehubungan itu, mereka menggesa isu berkenaan dibincangkan secara matang dengan berpandukan fakta dan hujah, bukannya menerusi gelaran yang boleh menjatuhkan kedudukan seseorang tokoh agama.

“Politik boleh berbeza, tetapi jangan sampai sentimen politik mengatasi keadilan dalam menilai ilmu dan ulama,” tambahnya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani 13 ahli dan pemimpin akar umbi DAP, termasuk Edry Faizal dari Cawangan Alam Jaya, Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen dan Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button