BERITA SEMASA

Residensi Siswa MADANI: Kerajaan, GLC berganding tenaga sediakan kediaman mahasiswa

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggabungkan kekuatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu menyediakan kemudahan kediaman mahasiswa menerusi pelaksanaan projek Residensi Siswa MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting kerana kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan awam untuk membiayai semua keperluan pembangunan, termasuk kemudahan perumahan pelajar.

Menurutnya, peruntukan sektor pendidikan, termasuk pendidikan tinggi, sudah berada pada tahap tertinggi, sekali gus memerlukan pendekatan alternatif bagi memenuhi keperluan mahasiswa.

“Peruntukan kita tahun ini dan tahun sebelumnya untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, untuk sektor pendidikan, itu tertinggi.

“Yang pertama, pendidikan. Yang kedua, kesihatan. Yang ketiga, pertahanan. Jadi, nak tambah lebih daripada itu memang mengusarkan. Tidak ada upaya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Residensi Siswa MADANI di Universiti Malaya di sini hari ini.

Anwar berkata, penglibatan syarikat milik kerajaan dalam projek itu membolehkan keuntungan yang dijana dikembalikan kepada rakyat secara langsung menerusi penyediaan kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, pendekatan berkenaan turut menjadi contoh kaedah pelaksanaan pembangunan yang menggabungkan sumber dan kepakaran pelbagai pihak demi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan reka bentuk dan kemudahan kediaman mahasiswa tidak seharusnya hanya menitikberatkan aspek fizikal, sebaliknya perlu mengambil kira nilai kemanusiaan serta kebajikan penghuni.

“Mahasiswa bukan golongan korporat atau kaya, justeru kemudahan asas seperti ruang makan, bilik penginapan dan tempat beriadah perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Saya mahu ini satu projek yang memenuhi aspirasi negara kita. Memberi secukupnya. Tentunya bangunan dan kemudahan tidak mungkin seperti hotel lima bintang, tapi syarat-syarat asas dari sedikit kemudahan itu boleh dan mampu dipenuhi,” katanya lagi.

Beliau berkata, pelaksanaan Residensi Siswa MADANI perlu mencerminkan aspirasi negara yang bukan sahaja menekankan pembangunan fizikal, malah turut mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button