BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Pentarama Homecoming suntik semangat patriotik dalam kalangan pelajar

KUALA LUMPUR – Program Pentarama Homecoming yang dilancarkan di Sekolah Kebangsaan Bangsar hari ini menjadi permulaan kepada jelajah ke lebih 80 sekolah di seluruh negara dalam usaha menyemarakkan semangat cinta kepada negara dalam kalangan pelajar.

Pentarama Homecoming suntik semangat patriotik dalam kalangan pelajar
Pentarama Homecoming suntik semangat patriotik dalam kalangan pelajar

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, program anjuran Jabatan Penerangan itu menggabungkan elemen hiburan dan penyampaian mesej kenegaraan termasuk prinsip Rukun Negara dan rasa sayang kepada tanah air.

“Ini pendekatan yang kita ambil sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Kita mahu semangat patriotik ini disemai sejak dari bangku sekolah lagi.

“Pentarama bukan sekadar persembahan hiburan tetapi diselitkan dengan mesej dan informasi yang membina jati diri rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan, hari ini.

Fahmi berkata, SK Bangsar dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana sekolah tersebut mempunyai nilai simbolik yang tersendiri di kawasan Lembah Pantai.

“Malah beberapa staf pejabat saya serta Yang Dipertua PIBG Mohd Yazid Mohd Yasin sendiri merupakan bekas pelajar di sini. Ini menunjukkan sumbangan sekolah ini dalam membentuk ramai individu yang kini berkhidmat untuk masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Fahmi memaklumkan dua mesyuarat Jawatankuasa Induk telah diadakan dan satu lagi akan diadakan dalam masa terdekat.

Kementerian Komunikasi masih menerima permohonan daripada pelbagai pihak yang mahu menyertai perbarisan, namun kekangan masa perlu diambil kira dalam menyusun atur penyertaan.

“Kita akan cuba beri ruang sebaik mungkin. Bagi pengunjung pula, pelbagai program sampingan turut disediakan di sekitar Putrajaya supaya mereka yang hadir bukan sekadar menyaksikan perbarisan tetapi turut dapat merasai suasana sambutan yang meriah,” katanya lagi.

Beliau berkata, acara Ambang Merdeka juga akan diadakan di Putrajaya, Kuala Lumpur serta beberapa lokasi lain dengan pengisian menarik untuk seisi keluarga.

Dalam pada itu, Fahmi turut menggalakkan rakyat mendengar dan menyebarluaskan lagu tema sambutan yang sudah mula dimainkan dalam pelbagai acara rasmi.

“Insya-Allah akan ada persembahan istimewa semasa perbarisan, tetapi saya tidak mahu dedahkan terlalu awal. Kita mahu rakyat hadir dan merasai sendiri semangat kebersamaan pada hari tersebut.

“Kita harap sambutan tahun ini akan berlangsung dalam suasana harmoni, meriah dan penuh kegemilangan,” katanya lagi.

Maklumat lanjut mengenai sambutan boleh didapati melalui laman sesawang rasmi merdeka360.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button