BERITA SEMASAHIBURAN

Kerajaan perkukuh sokongan industri filem – Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkukuh pembangunan industri perfileman negara menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk penyaluran dana dan latihan pembangunan bakat, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Menurut beliau, sebanyak RM13 juta telah disalurkan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) Fasa Pertama tahun ini, termasuk bagi tujuan pasca produksi, pemasaran, promosi antarabangsa serta program televisyen di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan perkukuh sokongan industri filem – Teo Nie Ching
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) turut membuka permohonan bagi DKK Fasa Kedua bermula 17 Jun hingga 27 Julai, merangkumi kategori seperti filem cereka, animasi, dokumentari serta kerjasama bersama penerbit antarabangsa.

“Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui portal SPPIK dan saya menggesa semua pemain industri agar mengambil peluang ini,” katanya pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) di FINAS Hulu Kelang, hari ini.

Nie Ching berkata, kerajaan melalui FINAS turut memperuntukkan RM40 juta tahun ini menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) bagi menarik lebih banyak penggambaran filem antarabangsa di negara ini, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata, inisiatif tersebut akan membuka ruang kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa selain memperkukuh ekosistem industri kreatif tempatan.

Nie Ching berkata, sebanyak 86 program latihan telah dilaksanakan sepanjang 2024 melibatkan lebih 7,700 peserta merangkumi pelbagai bidang seperti pengarahan, penulisan skrip, pasca produksi, kesan visual dan aspek teknikal.

“Program Belia Kreatif Komuniti MADANI turut akan digerakkan selepas menerima peruntukan sebanyak RM30 juta untuk tempoh dua tahun dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 16,000 anak muda dalam bidang seni kreatif.

“Inisiatif ini termasuk bengkel komuniti filem, pertandingan filem pendek belia serta pembangunan komuniti kreatif di seluruh negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nie Ching turut mengumumkan pengenalan kategori baharu dalam FFM34, iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, sebagai penghargaan terhadap keberanian dan profesionalisme tenaga kerja di sebalik adegan aksi mencabar.

“Peningkatan ketara dalam penerbitan filem aksi tempatan membuktikan kemajuan aspek keselamatan dan nilai tontonan yang tinggi, sekali gus wajar diberikan pengiktirafan tersendiri,” katanya lagi.

FFM34 yang bertemakan ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’ akan berlangsung pada 8 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri dan dijangka menerima penyertaan lebih 60 buah filem tempatan.

Nie Ching merakamkan penghargaan kepada FINAS, rakan penaja, persatuan industri dan media atas kerjasama menjayakan festival itu yang menurutnya bukan sekadar majlis anugerah tetapi medan strategik mengangkat martabat filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button