BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

30 jam tanpa henti, RIUH Merdeka dijangka tarik 30,000 pengunjung

PUTRAJAYA – Penganjuran RIUH Merdeka 2025 di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya dijangka menjadi tumpuan lebih 30,000 pengunjung sepanjang 30 jam ia berlangsung bermula semalam hingga hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, RIUH Merdeka bukan sekadar platform hiburan, malah medan mengukuhkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat Malaysia.

“Sasaran kami bagi program ini adalah untuk menarik sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran. Dengan tempoh selama 30 jam tanpa henti, kami yakin jumlah itu dapat dicapai.

“Usaha menganjurkan RIUH Merdeka ini bertujuan memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, dapat merasakan bahawa sambutan kemerdekaan ini adalah milik bersama,” katanya selepas pertunjukan bunga api sempena Ambang Merdeka di sini malam tadi.

RIUH Merdeka bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme melalui seni, budaya dan kreativiti, selain menjadi platform penggiat industri kreatif menonjolkan bakat, membuka peluang perniagaan serta merapatkan hubungan komuniti.

Sepanjang 30 jam penganjuran, pelbagai pengisian menarik disediakan antaranya persembahan artis, bengkel seni, persembahan kebudayaan dan tayangan filem tempatan.

Selain itu, lebih 30 jenama pakaian dan produk gaya hidup serta 50 peniaga makanan dan minuman turut terlibat, menjadikan acara ini platform menyatukan komuniti melalui kreativiti, perniagaan dan budaya.

RIUH Merdeka 2025 bukan sahaja menawarkan hiburan, malah simbol perpaduan rakyat dalam meraikan kemerdekaan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button