BERITA SEMASAPOLITIK

PH perluaskan tawaran kepada rakyat Melaka, isu kos sara hidup dan perumahan jadi keutamaan

MELAKA – Isu kos sara hidup, kesukaran memiliki rumah serta peluang pekerjaan dengan pendapatan setimpal antara perkara yang menjadi perhatian Pakatan Harapan (PH) ketika memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi maklum balas penduduk yang disantuni oleh 24 calon PH sepanjang hari pertama kempen, termasuk menerusi program Santuni Rakyat.

“Selain isu berkaitan kebajikan dan perumahan, peniaga kecil turut berdepan tekanan kenaikan kadar sewa serta kekangan modal untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

“Antara keresahan yang kita dengar adalah tentang bil, kesukaran memiliki rumah, skim bantuan kebajikan dan juga pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

“Begitu juga dengan peniaga kecil yang berdepan tekanan sewa serta kekangan modal untuk meneruskan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.

Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, isu berkaitan kemudahan asas seperti banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan, kebersihan serta penyelenggaraan kemudahan awam turut dibangkitkan penduduk.

Katanya, aduan berkaitan projek Melaka Sentral yang didakwa belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keadaan lokasi pelancongan di negeri itu juga memerlukan perhatian dan penjelasan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pencapaian pentadbiran negeri sebelum ini memandangkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN lalu.

“Mandat sebesar ini datang dengan tanggungjawab yang besar juga.

“Sebab itu, kerajaan perlu menjelaskan apakah yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan, terutama dalam perkara yang berkait secara langsung dengan kehidupan rakyat.

“Rakyat berhak bertanya jika urusan asas pun masih tidak dapat diselesaikan dan terus menjadi aduan, atas ukuran apa pentadbiran sedia ada mahu terus dibanggakan,” katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata PH akan melancarkan aspirasi parti yang merangkumi tawaran serta hala tuju pentadbiran sekiranya diberikan mandat oleh rakyat Melaka.

Antara keutamaan yang akan diketengahkan termasuk penyediaan kediaman mampu milik, peningkatan pendapatan rakyat, sokongan kepada usahawan kecil serta kebajikan pelajar selain memastikan bantuan dan akses kepada perkhidmatan dilaksanakan secara telus.

Menurutnya, perincian tawaran berkenaan akan dibentangkan ketika pelancaran aspirasi PH bagi membolehkan pengundi meneliti dan menilai komitmen yang dikemukakan.

Mengulas strategi pemilihan calon pula, beliau berkata PH mengambil kira tiga aspek utama iaitu kekuatan jentera parti di kawasan yang ditandingi, keupayaan calon serta tahap sokongan semasa rakyat.

“Calon yang diketengahkan terdiri daripada individu berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk pihak berkuasa tempatan, pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan serta bekas anggota perkhidmatan awam termasuk veteran tentera.

“Tempoh kempen selama 14 hari perlu dimanfaatkan semua pihak untuk mendekati pengundi, mendengar permasalahan mereka dan mengemukakan penyelesaian yang boleh dinilai secara terbuka.

“Kuasa mentadbir bukan hak kekal pada mana-mana parti, tetapi pengundi tidak berhutang mandat dengan sesiapa.

“Sebab itu, PH mengajak semua pihak berkempen dengan menjawab masalah, membentangkan penyelesaian dan berani berdepan dengan penilaian rakyat,” tambahnya.

Adly turut menyeru agar suara rakyat dihargai kerana kuasa demokrasi terletak pada pengundi untuk menentukan masa depan pentadbiran negeri itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button