PRN Sabah: BN tawar had dua penggal Ketua Menteri dalam manifesto RPS1
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) menampilkan pendekatan baharu dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan menawarkan had maksimum dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.
Tawaran itu digariskan dalam Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang dilancarkan pada majlis rasmi di Bangunan UMNO Sabah, hari ini. Ia dianggap langkah untuk memperkukuh tadbir urus serta memastikan kepimpinan negeri sentiasa segar dan tidak terikat kepada pemusatan kuasa individu.
Dokumen manifesto itu menjelaskan bahawa had penggal berkenaan merupakan reformasi penting bagi menjunjung prinsip demokrasi serta meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran.
Pelancaran manifesto disempurnakan oleh Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak. Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Dalam ucapannya, Salleh menegaskan BN Sabah kekal konsisten memperjuangkan tuntutan bayaran 40 peratus hasil pendapatan Persekutuan kepada Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perjuangan itu bukan retorik politik, sebaliknya hak negeri yang mesti dipertahankan.
“Memperjuangkan Sabah bukan hak individu atau parti, ia hak seluruh rakyat Sabah.
“Apa yang terambil mesti dikembalikan, dan apa yang belum dilaksanakan perlu dilaksanakan,” memetik BH online.
Manifesto BN turut menekankan komitmen memperkukuh autonomi Sabah melalui penubuhan Jawatankuasa Khas DUN bagi memantau pelaksanaan terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jawatankuasa berkenaan akan menyemak semula beberapa akta berkaitan seperti Petroleum Development Act 1974, Akta Wilayah Laut 2012 dan Akta Perikanan 1985 bagi memastikan hak Sabah dipertahankan.
BN turut menyatakan pendirian mempertahankan cadangan agar Sabah dan Sarawak menerima semula 35 peratus kuota kerusi Parlimen, bagi memastikan kedudukan dua wilayah itu sebagai rakan pembentuk Malaysia terus dihormati.
BN juga mencadangkan penambahan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi memberi ruang kepada wakil komuniti minoriti agar suara mereka tidak terpinggir dalam proses penggubalan dasar negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















