14 ADUN BN Negeri Sembilan tarik sokongan, hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan kini berhadapan dengan kemelut politik yang serius apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) secara rasmi mengumumkan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menegaskan bahawa keputusan drastik itu dibuat secara sebulat suara setelah mengambil kira krisis yang melanda institusi adat dan perlembagaan di negeri tersebut.
“kesemua 14 ADUN Barisan, kesemua 14 ADUN UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Jalaluddin Alias menyatakan perkara itu semasa sidang media khas UMNO Negeri Sembilan.
sehubungan itu, beliau menyatakan rasa dukacita dan kecewa yang mendalam terhadap krisis yang sedang berlaku. Menurut beliau, sebagai parti yang menjunjung tinggi institusi adat, BN melihat situasi tersebut kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
“Kami tidak akan sesekali mengambil pendirian untuk mencampuri urusan berkaitan (adat), namun kami sangat kecewa dengan apa yang telah berlaku,” katanya kepada pemberita.
Apa yang lebih mengejutkan, Jalaluddin mendedahkan bahawa beliau bersama barisan EXCO daripada UMNO-BN tidak pernah dimaklumkan atau dilibatkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri berhubung isu kritikal tersebut.
Beliau mendakwa kepimpinan BN hanya mengetahui tentang krisis berkenaan selepas ia menjadi perdebatan umum dan mencapai tahap kritikal, sekali gus menunjukkan wujudnya jurang komunikasi dalam pentadbiran sedia ada.
“Yang Amat Berhormat Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau dalam krisis ini. Keadaan ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran dan memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat,” tegasnya lagi.
Meskipun menarik sokongan, Jalaluddin menegaskan bahawa BN tetap komited mendokong penuh perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Beliau menekankan bahawa negeri memerlukan kerajaan yang stabil agar fokus dapat diberikan kembali kepada objektif mensejahterakan rakyat dan memacu ekonomi.
Sementara itu difahamkan, BN mengesahkan notis rasmi penarikan sokongan tersebut telah dihantar ke Pejabat Setiausaha Dewan Undangan Negeri pada jam 10.55 pagi tadi.
Pada masa sama, notis berkenan turut dihantar ke Pejabat Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri pada jam 10.57 pagi tadi bagi tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








