BERITA SEMASA

Pelepasan muflis ‘Fast Track’ bawah 36 hari bermula tahun depan – Azalina

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan tempoh pemprosesan permohonan pelepasan status kebankrapan dipendekkan kepada kurang daripada 36 hari menerusi Program Pelepasan ‘Fast Track’ di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) bermula tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada peluasan Dasar Peluang Kedua bagi membantu individu muflis membina semula kestabilan sosioekonomi mereka.

“Permohonan secara dalam talian melalui portal e-Insolvensi itu disasarkan untuk diselesaikan dalam tempoh berkenaan tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan serta ketiadaan sebarang bantahan daripada pemiutang.

“Program laluan pantas ini menumpukan kepada kumpulan sasar tertentu, termasuk golongan ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau pinjaman mikro.

“Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada individu yang menjadi mangsa penipuan kewangan (scam) serta pembeli rumah yang terkesan dengan projek perumahan terbengkalai,” katanya ketika berucap pada satu program berkaitan reformasi perundangan di sini, semalam.

Azalina berkata, transformasi digital dalam sistem perkhidmatan MdI memainkan peranan penting dalam memacu ketangkasan proses pengesahan data tanpa mengabaikan aspek perundangan.

“Pendekatan itu membolehkan individu yang layak keluar daripada belenggu insolvensi dengan lebih teratur sekali gus berpeluang menyumbang semula kepada aktiviti ekonomi negara,”katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button