MTL: 25,592 anggota, 1,248 aset BOMBA dalam kesiapsiagaan penuh
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan seramai 25,592 pegawai dan anggotanya di seluruh negara dalam keadaan siap siaga penuh bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kekuatan anggota berkenaan melibatkan gabungan Pegawai Bomba Sepenuh Masa (PSM), Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), di samping sokongan bahagian kejuruteraan jabatan.
Beliau berkata, JBPM turut mempersiapkan sebanyak 1,248 unit aset logistik darat, air dan udara untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku insiden banjir atau bencana berkaitan cuaca buruk.
“Persiapan operasi ini memberi tumpuan kepada 3,682 lokasi titik panas (hotspot) banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan unjuran data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Bagi memastikan tindakan respons yang lebih pantas, sebanyak 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) telah dibentuk dan bersedia digerakkan ke zon-zon yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Nor Hisham, pihak jabatan turut mengaktifkan Pangkalan Operasi Hadapan (RFB) di tiga zon strategik iaitu di Pulau Pinang bagi zon utara, Terengganu untuk zon pantai timur serta Johor bagi zon selatan.
“Langkah berkenaan bertujuan mempercepatkan penghantaran bantuan peralatan sokongan serta logistik penyelamatan ke negeri-negeri terjejas tanpa perlu menunggu pergerakan dari ibu pejabat di Putrajaya,”katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai, supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca serta segera mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








