Lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah blok pangsapuri di Taman Bukit Segar, Batu 9 Cheras, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai tinggal di sebuah unit di tingkat tujuh blok berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3.46 petang sebelum sepasukan pegawai bersama Unit Forensik dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Naazron berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang menunjukkan wujud unsur jenayah.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) bagi menjalani proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Norfaizal Zakaria di talian 016-290 2901 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








