SUKAN

2 penerjun wanita Terengganu dipertimbang masuk program pelapis kebangsaan

PUTRAJAYA – Dua penerjun wanita Terengganu yang memenangi pingat Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak baru-baru ini akan dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Pengarah Teknikal Kebangsaan Sukan Terjun, Bryan Nickson telah mengenalpasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan itu.

“Kedua-dua penerjun wanita Terengganu yang memenangi pingat di Sukma Sarawak baru-baru ini akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia seliaan Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya bakat mereka akan terus dapat dikembangkan sebelum terpilih memasuki program di peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan negeri Terenganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun ini memandangkan mereka juga telah menyumbang pingat kepada kontinjen Terengganu.

Jelasnya, setiap peserta yang mewakili negeri di Sukma perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri tertentu.

“Pihak Kementerian bimbang dengan arahan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam bidang tertentu dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Sebelum ini Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan penyertaan atlet terjun wanita yang mewakili Terengganu pada temasya Sukma 2024 di Sarawak, berada di luar pengetahuan pihaknya.

Beliau berkata, secara dasar negeri itu tetap berpegang kepada keputusan kerajaan sebelum ini mengenai kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button