BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dakwa kerap dengar bisikan, pelajar perubatan parah jatuh dari tingkat tujuh

MELAKA – Seorang pelajar perubatan tahun akhir yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan sering mendakwa terdengar bisikan, nyaris maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.42 malam itu, mangsa berusia 24 tahun terjatuh ke beranda luar tingkat lima dan mengalami kecederaan parah pada otak serta tengkorak akibat hentakan kuat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa keluar dari bilik air dalam keadaan bogel sebelum meluru ke arah pintu dan terjun dari tingkat tujuh.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu merupakan pelajar di sebuah institut pengajian tinggi di negeri ini dan dijangka menamatkan pengajian dalam bidang perubatan tahun depan.

Katanya, rakan serumah memaklumkan bahawa mangsa pernah mengalami masalah kesihatan mental dan sering mengadu terdengar bisikan.

“Malah, ini merupakan cubaan kedua selepas kejadian pertama di Muar tahun lalu apabila mangsa dipercayai terjun dari tingkat empat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Christopher berkata, operasi menyelamat turut mendapat bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka sebelum mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Beliau menegaskan, siasatan setakat ini tidak menemui unsur buli, malah mangsa disifatkan seorang yang baik, suka membantu rakan-rakan dan tidak mempunyai masalah besar sepanjang pengajian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button