BERITA SEMASA

Dakwaan aset Tabung Haji dijual kepada Cina tidak benar, kerajaan ‘bailout’ lebih RM10 bilion pulihkan kedudukan kewangan – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyelamatkan Tabung Haji (TH) menerusi suntikan lebih RM10 bilion bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu yang berdepan krisis akibat kelemahan tadbir urus, penyelewengan dan keputusan pelaburan berisiko.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah berkenaan bukan bertujuan mengambil alih aset TH, sebaliknya memastikan institusi itu kembali solven dan mampu beroperasi secara mampan dalam jangka panjang.

Beliau berkata, dakwaan bahawa aset TH telah dijual kepada bukan Islam atau kaum Cina adalah tidak benar dan merupakan fitnah yang cuba menimbulkan kebencian serta hasutan.

“Aset ini adalah hak milik Urusharta Jamaah, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya ketika sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dan usaha pemulihan kewangan institusi berkenaan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Zulkifli, TH berdepan situasi genting apabila jurang antara aset dan liabilitinya melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018, dengan tempoh hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian.

“TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan (bailout) TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya TH kembali solven serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata krisis yang melanda TH bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada kesan terkumpul kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko serta kegagalan menggambarkan kedudukan kewangan secara telus.

Bagaimanapun, pelan pemulihan dan reformasi institusi yang dilaksanakan TH sejak 2018 telah menunjukkan perkembangan positif, termasuk menerusi penstrukturan semula aset dan liabiliti.

“Kesemua reformasi yang dilaksanakan ini jelas telah membuahkan kejayaan kepada pengukuhan TH yang lebih mampan pada hari ini.

“Buktinya jelas apabila penstrukturan semula aset dan liabiliti telah berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH, di samping membersihkan kunci kira-kira serta membina semula rizab kewangan yang lebih kukuh,” katanya.

Zulkifli berkata TH turut mencatatkan rekod pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah pada 2025, iaitu RM4.64 bilion, hasil peningkatan kualiti pelaburan selain pengukuhan aspek tadbir urus dan ketelusan pengurusan.

Katanya, komitmen TH terhadap kepentingan pendeposit turut diterjemahkan menerusi peningkatan kadar agihan keuntungan secara berperingkat, daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025.

Kadar berkenaan merupakan yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun, meskipun TH masih mengambil kira aset legasi bermasalah bernilai RM2.6 bilion yang wujud sebelum 2018 dan perlu dibuat susut nilai selepas 2018 hingga 2025.

Beliau berkata TH kini berada pada landasan lebih kukuh dan mampan di bawah kepimpinan pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan profesional melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi dan tadbir urus lebih baik tanpa campur tangan kerajaan.

Pada 29 Julai lalu, laporan RCI TH setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan tersebut turut mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan TH setakat 30 Julai lalu.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021 sebelum ahli-ahlinya dilantik pada 20 Januari 2022.

Laporan berkenaan kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button