‘Yang berjasa itu Azizah, bukan saya’ – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail lebih banyak berjasa dalam menguruskan keluarga dan anak-anak sepanjang kesibukannya sebagai pemimpin negara.
Anwar berkata, kesibukan dengan tugas menguruskan negara menyebabkan beliau tidak dapat menjadi bapa yang ideal kepada anak-anak, meskipun sentiasa berusaha mencari ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya bukanlah mesti tokoh yang ideal. Kalau sekadar tanya pengalaman, kita cuba sebaik mungkin. Tapi kalau saya bertanya kepada anak-anak secara ikhlas, yang berjasa itu Azizah, bukan saya,” katanya menerusi sebuah podcast hari ini.
Menurutnya, jadual sebagai pemimpin yang padat menyebabkan masa bersama keluarga perlu diurus sebaik mungkin, termasuk mencari kesempatan untuk makan tengah hari, makan malam atau meluangkan masa pada hujung minggu.
“Saya dengan anak-anak cuba dapat (mencari ruang) kalau tak boleh makan malam, makan tengah hari atau hujung minggu. Mesti cari waktu. Mesti ada masa untuk dibuang sedikit bersama keluarga,” katanya.
Anwar berkata, kehidupan sebagai pemimpin dipenuhi jadual ketat termasuk perlu bangun awal, bekerja dan mengambil waktu rehat dalam tempoh singkat sebelum meneruskan tugasan lain.
Dalam pada itu, beliau berkata Wan Azizah sudah memahami kesibukan yang dilaluinya sejak awal perkahwinan mereka.
Katanya, ketika berkahwin, beliau masih aktif sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan mempunyai jadual padat dengan program di universiti, maktab perguruan serta sekolah hampir setiap hari.
“Bila berkahwin dengan saya, (Azizah) sudah biasa dengan jadual dan alhamdulillah, tidak pernah dia merasa terkesan atau kecewa.
“Saya cuba sedaya upaya memberikan ruang dan waktu walaupun saya akui dari segi menjaga keluarga tidak ideal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








