PM lancar Wakaf MARA MADANI
KUALA LUMPUR – Wakaf MARA MADANI yang dilancarkan hari ini mempunyai tujuan memartabatkan agenda bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini.
Perdana Menteri, Datukj Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif wakaf berkenaan adalah sebahagian daripada warisan umat Islam untuk membina kekuatan dari peringkat akar umbi.
Jelas beliau, inisiatif wakaf juga dapat memberi peluang kepada bangsa Melayu dan Bumiputera untuk membangun dan menentukan masa depan mereka sendiri.
“Wakaf MARA MADANI ini menunjukkan bahawa kita sudah sampai ke tahap bukan sahaja kita menerima peluang dan peruntukan semata-mata, ini masa kita menunjukkan bahawa kita adalah bangsa yang bermaruah, boleh menentukan masa depan kita,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan peluncuran wakaf itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kata Anwar lagi, kerajaan akan terus menekankan dasar pemerkasaan bumiputera bagi memperkukuh mobiliti sosial dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memainkan peranan penting dalam meneruskan usaha berkenaan.
Langkah tersebut termasuk penyediaan peluang pendidikan dan latihan kemahiran kepada golongan bumiputera, sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam masyarakat.
“Kejayaan dasar bumiputera terutama melalui Mara adalah yang disebut mobiliti sosial yang ketara. Anak-anak dari kelompok miskin dari desa dan pedalaman diberi peluang dan meningkatkan kedudukan mereka melalui pendidikan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








