BERITA SEMASA

Pelihara khazanah alam, kerajaan peruntuk RM270 juta

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM270 juta bagi dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) dalam menyokong usaha negeri memelihara khazanah alam serta menggalakkan kegiatan ekonomi dan ekopelancongan berasaskan komuniti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan RM65 juta turut disediakan, antaranya untuk memanfaatkan kira-kira 2,500 renjer komuniti daripada kalangan Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis bagi melindungi khazanah biodiversiti negara.

“Peruntukan itu termasuk pembinaan dan penyelenggaraan pos renjer bagi tujuan rondaan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, RM15 juta daripada dana kutipan ses industri sawit pula akan dimanfaatkan untuk pemuliharaan alam, dengan keutamaan melindungi habitat terancam seperti harimau Malaya, gajah Borneo dan orang utan.

Sementara itu, bagi melindungi hidupan marin, Anwar berkata, ikhtiar pembelian pukat lama akan diperkenalkan supaya tiada lagi pukat lama terbiar sehingga membahayakan hidupan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berjaya mengekalkan hampir 18 juta hektar kawasan berhutan, bersamaan 54.4 peratus daripada keluasan tanah negara, selaras dengan komitmen mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

Jelas beliau, sehingga 2025, hampir 4,000 hektar kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai berjaya dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau serta spesies yang sesuai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button