BERITA SEMASA

Elak skandal 1MDB, TH dan Felda berulang, kerajaan gubal RUU Entiti Milik Kerajaan – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun, sekali gus mengelakkan berulangnya skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan wang serta aset rakyat.

Beliau berkata, memasuki tahun kelima pentadbiran, kerajaan akan terus memperteguh agenda reformasi tanpa gentar, termasuk memastikan kuasa dilaksanakan mengikut undang-undang dan kewangan awam diurus secara beramanah.

“Belanjawan bukan sekadar menghitung hasil dan membahagikan peruntukan, sebaliknya turut menguji amanah kerajaan dalam membatasi kuasa, menegakkan undang-undang dan memastikan wang rakyat diurus dengan jujur.

“Ekonomi tidak mungkin teguh di atas institusi yang rapuh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata, kerajaan turut memperkukuh ketelusan pengurusan kewangan awam dengan menetapkan semua kutipan bayaran balik pinjaman yang disalurkan secara langsung kepada badan berkanun Persekutuan, termasuk pinjaman pendidikan dan perniagaan, hanya boleh digunakan semula bagi tujuan serta kumpulan sasaran yang diluluskan.

Ketetapan itu katanya, turut merangkumi hasil faedah yang dijana daripada dana berkenaan.

Beliau berkata, kutipan bayaran balik pinjaman yang menggunakan dana Kerajaan Persekutuan tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus badan berkanun, program atau aktiviti lain, mahupun perbelanjaan di luar kelulusan peruntukan asal.

Dalam usaha mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat katanya, kerajaan juga akan berganding bahu dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat.

“Antara inisiatif yang dirancang ialah melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi dalam pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar serta penyediaan akses internet, melalui penyatuan dana kerajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan memperkukuh ketelusan perolehan awam susulan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027, termasuk menzahirkan maklumat projek, kontraktor dan nilai kontrak.

Pada masa sama katanya, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi lima badan penguat kuasa, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Mengulas agenda reformasi institusi, Anwar berkata, kerajaan telah mengambil langkah mengembalikan autonomi Parlimen selepas lebih tiga dekad, selain menubuhkan 85 jawatankuasa pilihan khas dan memperkenalkan sesi Pertanyaan Menteri kepada Perdana Menteri (PMQT) bagi membolehkan beliau disoal secara langsung.

Katanya, kerajaan turut menggubal Akta Antibuli dan Akta Keselamatan Dalam Talian, selain memperkukuh peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Pesuruhjaya Kanak-kanak serta perlindungan kepada pemberi maklumat dan saksi.

Dalam aspek hak asasi manusia, beliau berkata, hukuman mati mandatori dan kesalahan cubaan membunuh diri telah dimansuhkan, manakala perbuatan menghendap dijadikan kesalahan.

Bagaimanapun, Anwar mengakui usaha reformasi untuk mengehadkan kuasa sendiri berdepan cabaran apabila cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang dibawa ke Parlimen tahun ini belum memperoleh sokongan dua pertiga.

Pada masa sama katanya, cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga telah diteliti secara mendalam.

“Kita menghormati proses Parlimen, tetapi tekad melakukan pembaharuan ini tidak akan pernah padam,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah yang sistemik dan berakar umbi akan diteruskan bagi memastikan penyalahgunaan kuasa tidak mengakibatkan kehilangan wang rakyat, hak masyarakat dan maruah negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button