BERITA SEMASADALAM NEGERI

Separuh jemaah tolak tawaran haji kerana kekangan wang

KUALA LUMPUR – Separuh daripada jemaah yang ditawarkan peluang menunaikan haji pada musim ini dilaporkan menolak tawaran berkenaan dengan alasan kekangan kewangan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah beliau, rekod Tabung Haji (TH) juga menunjukkan 53 peratus daripada keseluruhan 9.7 juta pendeposit mempunyai baki simpanan kurang daripada RM1,300 iaitu jumlah yang tidak mencukupi untuk melayakkan seseorang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Mohd Na’im mberkata, kedudukan itu menunjukkan peranan asas TH sebagai institusi penabungan semakin mencabar apabila berdepan persaingan produk kewangan lain seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta.

“Peranan TH sebagai institusi penabungan telah mula terkesan. Kini, TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya.

Perkara itu dikemukakan menerusi jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah peruntukan yang dibelanjakan setakat ini.

Justeru katanya, langkah penjenamaan semula perlu dilaksanakan bagi memastikan TH kekal relevan dan berupaya menarik lebih ramai umat Islam untuk menabung secara berterusan.

Menurutnya, peruntukan perkhidmatan konsortium perunding bagi projek peremajaan jenama itu ditetapkan pada RM5.9 juta bagi tempoh tiga tahun, seperti dimaklumkan pada 16 Ogos lalu.

“Setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta selaras dengan kemajuan kerja semasa mengikut jadual yang dipersetujui,” katanya.

Beliau menegaskan, tiada kontrak tambahan dimeterai dan kos yang merangkumi perundingan itu menggunakan bajet pemasaran serta komunikasi sedia ada. Baki keperluan kerja lanjutan pula masih dalam penelitian dan belum dimuktamadkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button