TH nafi dakwaan denda 10,000 riyal ambil gambar di Masjidil Haram
MEKAH – Dakwaan tular di media sosial kononnya jemaah haji boleh dikenakan denda sehingga 10,000 riyal kerana mengambil gambar di Masjidil Haram, khususnya di sekitar Kaabah adalah tidak benar.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, jemaah dibenarkan merakam gambar di kawasan sekitar Kaabah dan Masjidil Haram, namun mereka dinasihatkan supaya tidak melakukannya ketika sedang menunaikan ibadah sehingga menjejaskan kekhusyukan.
“Saya nak maklumkan bahawa tiada masalah untuk mengambil gambar di sekeliling Kaabah. Tetapi adalah disarankan supaya mereka ini tidak membuat demikian semasa melaksanakan ibadah.
“Masa tawaf jangan buat video dan sebagainya kerana itu mungkin mengganggu ibadat mereka.
“Jadi untuk mereka mengambil gambar selepas tawaf dan mengambil gambar di persekitaran Masjidil Haram, tiada masalah dan yang mengatakan kena denda 10,000 riyal itu adalah tidak benar,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan operasi haji 1447H/2026 di Mekah.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan denda sebanyak 10,000 riyal atau kira-kira RM10,500 selain ditahan dan dihantar pulang ke negara asal terhadap mana-mana individu yang mengambil gambar atau video di Masjidil Haram terutama di hadapan Kaabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








