BERITA SEMASA

Konflik Israel-Palestin: Malaysia diminta berwaspada terhadap deklarasi New York – Maszlee

PUTRAJAYA– Kerajaan Malaysia disaran lebih berwaspada dalam menyatakan pendirian terhadap Deklarasi New York yang dibentangkan oleh Perancis dan Arab Saudi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Julai lalu, susulan beberapa kandungannya yang dilihat berat sebelah.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Maszlee Malik berkata, deklarasi yang mengemukakan semula cadangan penyelesaian dua negara (Two-State Solution) bagi konflik Israel-Palestin itu tidak menjamin keadilan antarabangsa dan seolah-olah memihak kepada kepentingan pihak tertentu.

“Antara perkara yang paling membimbangkan adalah syarat yang menetapkan agar Hamas meletak senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority), tanpa sebarang tanggungjawab dikenakan ke atas Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, Malaysia perlu kekal konsisten menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat seperti termaktub dalam Resolusi PBB 242 (1967), serta menolak sepenuhnya pendudukan haram rejim Zionis terhadap wilayah Palestin.

“Penyelesaian dua negara telah beberapa kali gagal bukan kerana rakyat Palestin menolaknya, tetapi kerana keengganan Israel mematuhi resolusi-resolusi PBB dan prinsip keadilan antarabangsa,” katanya lagi.

Maszlee berkata, sebarang peralihan kuasa di Gaza sepatutnya dilakukan melalui proses pilihan raya yang bebas dan adil di bawah pemantauan badan antarabangsa, dan bukannya ditentukan oleh kuasa luar.

Menurut beliau, prinsip kedaulatan dan hak menentukan nasib sendiri adalah hak eksklusif rakyat Palestin dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana kuasa asing.

“Pendirian rasmi Malaysia terhadap deklarasi ini perlu berteraskan komitmen kepada undang-undang antarabangsa, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan selari dengan sentimen rakyat Malaysia yang sentiasa teguh menyokong perjuangan Palestin,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memastikan semua pihak yang terlibat termasuk Israel dipertanggungjawabkan atas segala pelanggaran undang-undang antarabangsa yang telah berlaku.

“Sekiranya terdapat kandungan dalam deklarasi tersebut yang bercanggah dengan dasar luar negara atau mampu menggugat prinsip keadilan sejagat, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk mengambil pendirian berkecuali.”
katanya lagi.

Maszlee dalam pada itu menegaskan, PKR menyokong segala usaha menamatkan krisis kemanusiaan dan memperkukuh proses damai, namun ia perlu berlandaskan prinsip keadilan dan kepatuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Bukan sekadar memenuhi kehendak kuasa besar semata-mata,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button