BERITA SEMASAPOLITIK

Kerajaan PH kekal stabil meskipun sembilan Ahli Parlimen PKR keluar parti – Ahmad Maslan

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal stabil walaupun sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedudukan kerajaan tidak terjejas kerana Pakatan Harapan (PH) bersama gabungan membentuk kerajaan kini menguasai 153 kerusi Parlimen.

“Untuk membentuk kerajaan, sesebuah parti atau gabungan perlu sekurang-kurangnya mempunyai 112 kerusi Parlimen.

“Jika sembilan atau 11 Ahli Parlimen PKR mengisytihar keluar parti dan menjadi Bebas sekalipun, kerajaan masih utuh dan jawatan Perdana Menteri tidak tergugat,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Komuniti Madani di Kampung Batu Rakit, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Bazlan Abdul Rahman.

Mengulas isu desakan oleh 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang PKR Johor yang mahu tindakan tatatertib serta penggantungan keahlian ke atas sembilan Ahli Parlimen parti itu, Ahmad menyatakan keyakinannya terhadap kesetiaan kepimpinan PKR.

“Kita yakin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak akan keluar parti. Mereka pemimpin berjiwa besar dan sentiasa mengutamakan kestabilan negara,” katanya.

Menurutnya, Rafizi dan Nik Nazmi yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga komited terhadap kestabilan kerajaan dan tidak akan membiarkan ketidaktentuan politik menjejaskan negara.

Katanya, kestabilan politik amat penting demi pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button