POLITIK

PRN Johor: AMANAH pertahan pencalonan Sharon Teo di DUN Permas

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertahankan pencalonan Ketua Wanita Muda (Warda) AMANAH Johor, Sharon Teo sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan mencalonkan Sharon dibuat selepas melalui proses tapisan serta pertimbangan yang teliti oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu.

Beliau berkata, pencalonan tersebut tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat sebelum diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Sharon Teo bukan calon payung terjun sebagaimana didakwa sesetengah pihak kerana beliau telah aktif bersama AMANAH sejak 2018.

“Beliau pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha AMANAH Johor bagi tempoh 2021 hingga 2023 sebelum dilantik sebagai Ketua Warda AMANAH Johor sejak 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan sidang akhbar oleh beberapa pemimpin AMANAH Kawasan Pasir Gudang yang membantah pencalonan Sharon sebagai calon PH bagi kerusi DUN Permas.

Menurut Muhammad Faiz, AMANAH yakin Sharon mempunyai kemampuan untuk membawa suara rakyat di kawasan itu memandangkan beliau merupakan anak jati Johor selain memiliki pengalaman dalam parti.

Katanya, pencalonan Sharon juga selari dengan komitmen AMANAH untuk memberi ruang kepada golongan muda dan wanita memainkan peranan lebih besar dalam landskap politik negara.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepimpinan AMANAH Kawasan Pasir Gudang supaya merapatkan saf serta memberi tumpuan kepada usaha memenangkan PH di DUN Permas.

“Kemenangan dalam PRN Johor bukan soal individu, sebaliknya usaha memastikan AMANAH dapat menyumbang kerusi kepada PH bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk di Johor,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button