‘Saya harap beliau bersabar’ – Ahmad Maslan
CYBERJAYA – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diminta bersabar susulan kenyataan beliau mengenai senarai calon Barisan Nasional (BN) Johor pada pilihan raya negeri yang akan datang.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui beliau amat menghormati Mohd Puad sebagai rakan seperjuangan yang bersemangat.
BACA JUGA:
Puad Zarkashi bakal buat pusingan U, beri bayangan bertanding PRN Johor
“Mengenai pandangan terkini beliau mengenai calon PRN Johor, saya harap beliau bersabar.
“Ini satu cabaran dalam perjuangan, Mohd Puad tentu tahu bahawa politik ini satu larian marathon yang panjang, bukan larian 100 meter,” kata Ahmad Maslan dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, Ahmad turut berkongsi pengalaman beliau dalam politik apabila setelah 22 tahun baru beliau dapat menjadi calon.
“Saya menjadi calon Parlimen Pontian ketika berumur 42 tahun, setelah menjawat pelbagai jawatan termasuk SUSK Timbalan Menteri Kewangan, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan, CEO Yayasan Restu dan Pengarah Seranta Felda, JPM.
“Saya bermula di Victoria University, Wellington, New Zealand sebagai Pengerusi Kelab UMNO ketika berumur 20 tahun.
“Selama 22 tahun setia dan gigih berjuang baru dapat jadi calon. Saya memahami mengenai larian marathon politik, 42.2 km (semacam umur saya 42 tahun baru jadi calon),” kongsi Ahmad.
Beliau kemudiannya menyatakan keyakinannya bahawa Mohd Puad akan membuat keputusan yang terbaik demi perjuangan.
“Mohd Puad sahabatku, saya yakin saudara akan membuat keputusan yang terbaik demi perjuangan ABATA, demi Agama, Bangsa dan Tanah Air. Ayuh kita membantu berkempen membantu calon-calon BN di PRN Johor ini,” kata Ahmad lagi.
Terdahulu, Mohd Puad memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya sebagai “membimbangkan”.
Beliau dalam hantaran di Facebook berkata, terdapat perkara yang beliau sifatkan sebagai ‘tidak kena’ dalam senarai calon berkenaan sehingga mendorong beliau mengambil pendirian untuk meneruskan perjuangannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








