POLITIK

UMNO pilih laluan sukar demi tidak wariskan masalah kepada generasi akan datang – Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – UMNO memilih laluan sukar pada hari ini kerana enggan mewariskan masalah yang gagal diselesaikan kepada generasi akan datang, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Mengimbau semula laluan perjalanan parti itu selepas kekalahan besar beberapa tahun lalu, beliau berkata, keputusan berdepan cabaran secara terbuka bukan kerana sikap keras kepala, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab ketika parti berdepan detik penting dalam sejarahnya.

Justeru, menurutnya, UMNO perlu berhenti bercakap mengenai pihak lain dan mula bercakap dengan jujur kepada diri sendiri, terutama ketika berhadapan penilaian rakyat dan masa depan parti.

“Ini bukan soal siapa betul atau siapa salah, tetapi siapa yang berani memikul tanggungjawab apabila sejarah sedang memerhati,” katanya pada ucapan pembukaan perhimpunan sayap Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Beliau berkata, UMNO pernah melalui era kemenangan yang panjang dan juga kejatuhan yang menyakitkan, namun menegaskan parti itu tidak dibina untuk terus hidup atas nostalgia atau rebah kerana kealpaan.

“Ini bukan masa untuk ragu, bersembunyi atau bercakap secara perlahan, sebaliknya masa untuk UMNO bersikap tegas dan berani membuat keputusan,” katanya.

Dalam ucapannya, Akmal menegaskan Pemuda UMNO hadir ke perhimpunan kali ini bukan dengan janji kosong, tetapi dengan tekad yang jelas di bawah gagasan Tekad Ummah.

“Tekad Ummah bukan slogan, tetapi keputusan untuk tidak lagi berpecah, tidak lagi takut dan tidak lagi menyerahkan masa depan bangsa kepada keraguan,” katanya.

Beliau turut menyeru UMNO supaya membuang sikap penafian, kembali menjernihkan parti dari dalam serta berani menentang musuh sebenar demi memperkukuh kedudukan parti dan ummah.

Mengakhiri ucapan, Akmal menegaskan pendirian Pemuda UMNO untuk terus bersuara lantang meskipun berdiam diri adalah pilihan yang lebih mudah.

“Kerana ini tanggungjawab kita, ini rumah kita dan inilah masanya segalanya bermula di sini,” katanya kepada 1160 perwakilan Pemuda dari 190 bahagian seluruh negara yang mewakili 13,478 cawangan Pemuda UMNO di perhimpunan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button