BERITA SEMASAPMX

PM Anwar tegaskan komitmen kerajaan teruskan agenda reformasi institusi

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda reformasi institusi bagi memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan serta pentadbiran awam.

Menjelaskan perubahan yang dilakukan Kementerian Kewangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kementerian itu sudah memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menuntut pelaksanaan disiplin fiskal yang ketat.

“Bunyinya mudah tetapi tidak mudah, kerana apa yang kita janjikan berkaitan pengurangan defisit atau belanjawan mesti dilaksanakan.

“Tidak semua negara sanggup melakukannya, kerana ia memerlukan tekad politik yang kuat serta iltizam untuk melakukan reformasi sebenar,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan bertujuan untuk memastikan proses dan prosedur tender serta perolehan kerajaan terus dipatuhi, walaupun berlaku perubahan dalam pentadbiran.

“Kerajaan boleh bertukar-ganti tapi akta itu kekal dengan proses tender dan perolehan kerajaan itu mesti dipatuhi,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi badan-badan penguatkuasaan, perdana menteri berkata, beliau bersyukur apabila badan-badan berkenaan telah menunjukkan peningkatan prestasi.

Badan penguatkuasaan tersebut termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Alhamdulillah, saya lihat badan ini menjalankan tugas dengan lebih mantap. Kerajaan, termasuk Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan barisan tertinggi dalam perkhidmatan awam memberikan dukungan sepenuhnya.

“Jika ada ruang untuk menambah baik, kita akan perbaiki. Saya sering mengingatkan bahawa walaupun kita rasa telah melakukan sesuatu dengan baik, kita mesti sedar masih ada ruang untuk peningkatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button