BERITA SEMASAPMX

Malaysia, Brunei gesa konflik Asia Barat kembali ke meja rundingan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Brunei menggesa semua pihak yang terbabit dalam konflik Asia Barat supaya menahan diri dan kembali kepada dialog serta diplomasi bagi menamatkan ketegangan yang semakin memuncak, khususnya susulan konflik membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu mengakibatkan korban awam, kerosakan infrastruktur dan situasi kemanusiaan yang semakin buruk.

“Mereka menggesa semua pihak supaya menahan diri, mengelak ketegangan terus meningkat, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara, serta kembali kepada dialog dan diplomasi bagi menamatkan konflik serta mencapai penyelesaian,” menurut kedua-kedua pemimpin itu dalam kenyataan bersama.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mengambil maklum keadaan itu telah mengganggu lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan global bagi tenaga dan barangan keperluan.

“Sehubungan itu, mereka menekankan kepentingan mengekalkan keselamatan maritim serta menjunjung kebebasan pelayaran dan penerbangan selaras undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

“Mereka menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap sebarang langkah diskriminasi atau unilateral yang tidak selaras undang-undang antarabangsa, serta menggesa laluan transit kapal dan pesawat yang selamat, tanpa halangan serta berterusan di Selat Hormuz dipulihkan selaras UNCLOS 1982,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin menegaskan isu Palestin kekal sebagai punca utama konflik dan ketidakstabilan lebih meluas di rantau terbabit, selain mengecam keras tindakan pembunuhan beramai-ramai serta pembersihan etnik berterusan dilakukan Israel sebagai kuasa pendudukan.

Mereka turut mengecam keganasan tanpa mengira sasaran serta sekatan terhadap akses kemanusiaan dan penyaluran bantuan yang mengakibatkan korban besar-besaran serta penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.

Kedua-dua pemimpin menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menamatkan kitaran tindakan tanpa hukuman, termasuk memastikan undang-undang antarabangsa dihormati dan gencatan senjata kekal dicapai, ke arah menamatkan pendudukan serta serangan oleh kuasa pendudukan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan momentum global yang semakin meningkat ke arah pengiktirafan negara Palestin, sekali gus mengulangi gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam konteks serantau lebih luas, kedua-dua pemimpin mengecam keras tindakan menyasarkan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) yang terdiri daripada anggota Batalion Malaysia (MALBATT) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan keselamatan anggota PBB mesti dijamin sepenuhnya, dan menggesa semua pihak mengambil langkah segera serta konkrit bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap semua serangan ke atas anggota PBB dan premis mereka dikenakan tindakan.

Mereka turut menggesa mandat UNIFIL dihormati sepenuhnya selaras resolusi PBB yang berkaitan, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006) dan 2823 (2026).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button