BERITA SEMASA

PM bertemu Menteri Luar China, lihat potensi lebih besar hubungan dua hala

GEORGE TOWN – China kekal sebagai rakan dagang terbesar negara ini dengan jumlah perdagangan sebanyak RM488 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah eksport ke China meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion pada 2022, manakala import dari China menyaksikan peningkatan 20.7 peratus kepada RM276.50 bilion pada tahun yang sama.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebooknya susulan kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia di Pulau Pinang, hari ini.

Katanya, pertemuan dengan Wang Yi bertujuan meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

“Pertemuan itu menandakan kepentingan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

“Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan berjumlah bilion (RM55.16 bilion),” katanya.

Sesi pertemuan itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke 10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China manakala tahun depan kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun persahabatan ke 50.

“Moga hubungan kedua-dua negara ini terus kekal utuh dan harmoni, Insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button