BERITA SEMASADALAM NEGERIPMX

Kerajaan beri jaminan bantuan kepada peserta Sumud Nusantara, ahli keluarga

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus memastikan sokongan dan bantuan diberikan kepada semua 34 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla dalam pelayaran kemanusiaan menuju ke Gaza.

Sebagai penaung Sumud Nusantara, beliau turut menyanjung tinggi keberanian rakyat Malaysia itu, malah menyifatkan pengorbanan mereka sebagai teladan luar biasa yang kini menjadi inspirasi masyarakat antarabangsa.

“Semangat yang anda tunjukkan amat mengagumkan. Insya-Allah, kerajaan sentiasa bersama anda dan akan memastikan kebajikan keluarga semua peserta terbela,” katanya ketika berhubung melalui panggilan video bersama delegasi Malaysia dari Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC), hari ini.

Menurut beliau, penyertaan Malaysia bukan sahaja membawa mesej solidariti yang lantang di luar pentas diplomasi, malah membuktikan sokongan itu diterjemah melalui penglibatan terus di lapangan.

Anwar menambah, misi yang kini memasuki hari ke-30 itu akan direkodkan sebagai salah satu detik penting dalam sejarah perjuangan menuntut keadilan untuk Palestin, sekali gus menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap perjuangan umat tertindas di bumi bergolak itu.

Katanya lagi, pengorbanan dan komitmen ditunjukkan para delegasi menjadi lambang solidariti sejagat yang menegaskan perjuangan membela Palestin bukan sekadar retorik, tetapi tindakan nyata yang diperjuangkan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button