BERITA SEMASA

PM ulangi impian pendidikan percuma kepada rakyat

 

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi pendiriannya bahawa akses kepada pendidikan sekolah rendah sehingga ke peringkat univerisit harus disediakan secara percuma oleh kerajaan untuk rakyat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kemudahan pendidikan itu hanya layak ditawarkan kepada golongan yang memerlukan dan tidak kepada golongan berkemampuan.

“Dalam falsafah pendidikan, pendidikan itu harus percuma. Itu pendapat peribadi saya.

“Untuk pendidikan dari sekolah rendah hingga universiti kecuali untuk golongan kaya,” katanya dalam Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di institusi pendidikan tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, impian tersebut mampu direalisasikan oleh kerajaan menerusi penyusunan dasar dan langkah penjimatan.

Salah satu daripada usaha yang sedang dilakukan kerajaan (penjimatan) adalah dengan mengurangkan pemberian subsidi kepada golongan T20 dan ke atas.

Melalui cara itu katanya, kerajaan dapat meminimumkan perbelanjaan dan menyalurkan penjimatan ke pada bajet pendidikan.

“Sebagai contoh, tanggungan subsidi terlalu tinggi, M40 dan B40 kita tak sentuh mereka terus dapat subsidi tapi T20 dan ke atas mereka bayar kos jadi adillah. Dengan itu kita jimatkan RM10 bilion subsidi daripada RM30 bilion.

“Semalam saya umum orang kaya ambil subsidi dalam 40 peratus. Orang kaya pun beri subsidi jadi kalau tanya saya, kita kena cari jalan supaya orang kaya jangan ambil subsidi, kena bayarlah.

“Jadi, untuk apa ini semua? Maknanya kalau ini semua boleh dikawal, maka kos pendidikan dapat diminimumkan.

“Jadi saya bersetuju dengan dasar-dasar ini, maknanya kita boleh buat, tapi tak boleh sekarang, hutangnya berlambak..bagilah masa,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button