Kelemahan kementerian bukan ukuran prestasi keseluruhan – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu kelemahan pelaksanaan di beberapa kementerian tidak wajar dijadikan ukuran menyeluruh terhadap prestasi kementerian tersebut.
Menurut beliau, prestasi kementerian secara keseluruhan adalah baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Apabila ada gesaan supaya prestasi diperbaiki, ini tidak menunjukkan (secara) keseluruhannya.
“Harus ada beberapa tindakan yang disegerakan terutamanya projek-projek kecil rakyat,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah, di sini hari ini.
Jelas beliau, kelemahan yang dikenal pasti hanya melibatkan segelintir pegawai dan tidak wajar menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan kementerian.
Justeru, beliau menegaskan penilaian berkenaan penting bagi memastikan manfaat kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih cepat.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sebanyak 14 kementerian gagal mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal yang diperuntukkan tahun lalu.
Beliau berkata, perbelanjaan yang terlibat merangkumi projek asas kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk pembinaan serta kerja naik taraf infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital.
Sehubungan itu, Shamsul Azri menegaskan bahawa Ketua Setiausaha (KSU) kementerian terlibat akan dipanggil untuk memberikan penjelasan dan perkara berkenaan akan memberi kesan terhadap penilaian prestasi melalui sistem demerit (DEEP).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








