BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Pelaburan diluluskan 2025 cecah RM426.7 bilion, tertinggi dalam sejarah – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara apabila jumlahnya mencecah RM426.7 bilion pada tahun 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 8,390 projek telah diluluskan dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion yang merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

Pada masa sama, katanya, pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia.

“Pencapaian ini adalah hasil ikhtiar bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha memastikan setiap pelaburan bukan sekadar diluluskan, tetapi direalisasikan serta diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kemakmuran rakyat.

“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kerajaan akan terus bekerja keras bagi memastikan seluruh rakyat dapat merasai manfaat daripada perkembangan ekonomi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button