KKDW nafi berbelanja melebihi peruntukan, jelaskan isu RM300 juta
KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan dakwaan kementerian berkenaan telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan dan menjelaskan bahawa RM300 juta yang disalurkan baru-baru ini bukan merupakan peruntukan tambahan baharu.
Setiausaha Akhbar Kanan (SUA) KKDW, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung peruntukan yang disalurkan kepada KKDW adalah tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.
Menurutnya, tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan.
“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan yang menggunakan Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).
“Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sekiranya berlaku perbelanjaan tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan, manakala sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan tanpa butiran dan peruntukan yang diluluskan.
Justeru, katanya, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap keadaan sebenar.
Dalam pada itu, Fadzmel berkata, data bagi 2019 hingga 2021 juga penting untuk melihat kedudukan sebenar antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.
Katanya, dalam tempoh berkenaan, negara berdepan pandemik COVID-19 yang menyebabkan sebahagian pelaksanaan projek terjejas, namun Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu telah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud.
“Apabila projek-projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
“Apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak,” katanya.
Menurutnya, projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya.
Beliau berkata, KKDW turut mengambil langkah kawalan lebih awal termasuk menyusun semula peruntukan dalaman kementerian, mengehadkan komitmen baharu, membatalkan tender berimpak tinggi kepada masyarakat desa serta mengehadkan projek di peringkat prapelaksanaan.
Malah, katanya, KKDW telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan pada suku kedua 2026 bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek yang sedang berjalan.
Mengulas RM300 juta yang diluluskan, Fadzmel berkata, jumlah itu bukan peruntukan tambahan sebaliknya peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan telah diberikan menerusi Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026.
Katanya, SKB itu dikeluarkan selepas isu berkenaan sekali lagi disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari sama.
“Peruntukan ini bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan RM300 juta tersebut sebagai peruntukan tambahan baharu kepada KKDW,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, KKDW menghargai kelulusan dan penyaluran RM300 juta berkenaan, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang sedang dihadapi.
Katanya, pelarasan hanya akan dibuat pada hujung 2026 berdasarkan penjimatan atau lebihan baki peruntukan kementerian.
Fadzmel berkata, pelbagai sesi konsultasi dan perbincangan turut diadakan bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun sebahagian perkara yang dibangkitkan masih tertangguh dan belum mendapat penyelesaian tuntas.
Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan berkenaan tidak dibayar secara terus oleh KKDW kepada kontraktor pelaksana, sebaliknya disalurkan kepada JKR atau agensi penyelia pelaksanaan projek.
“Sebaiknya perkara ini tidak seharusnya menjadi pertikaian antara kementerian.
Apa yang lebih penting ialah mencari penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah wujud.
“KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Langkah itu, katanya, penting bagi mengelakkan persepsi seolah-olah KKDW melakukan kesalahan dalam perbelanjaan atau tidak berhemah dalam mengurus amanah peruntukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








