BERITA SEMASA

Anggota polis trauma, masih jalani rawatan psikiatri selepas didakwa dihentak empat kali

SEPANG – Seorang anggota Cawangan Khas masih menjalani rawatan psikiatri selepas didakwa mengalami trauma susulan insiden kekasaran yang berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Peguam pemerhati yang mewakili kedua-dua anggota terbabit, Kamal Hisham Ja’afar berkata, salah seorang anak guamnya, Lans Koperal Ekmal, didakwa mengalami trauma selepas kepalanya dihentak sebanyak empat kali dalam kejadian berkenaan.

“Mangsa masih mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Salak dan sebuah hospital susulan insiden itu.

“Selepas kejadian dihantuk kepala empat kali, beliau telah menjalani rawatan dan sehingga kini terpaksa menjalani rawatan psikiatri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas prosiding kes di Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, hari ini.

Menurutnya, kesan kejadian terhadap mangsa tidak seharusnya dipandang remeh meskipun terdapat pihak yang menganggap kecederaan dialami tidak serius.

“Walaupun ada pihak mengatakan ini macam kecederaan yang kecil, tetapi mereka tidak mengalaminya dan tidak berada dalam situasi kedua-dua mangsa tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap mahkamah mengambil kira kesan kejadian terhadap kedua-dua pengadu ketika mengendalikan kes berkenaan.

Mengulas prosiding hari ini, Kamal Hisham menyifatkan tindakan undang-undang terhadap individu berjawatan tinggi sebagai bukti bahawa setiap orang tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“Hari ini kita dapat lihat bagaimana manifestasi bahawa negara kita ini, walaupun orang itu berpakaian besar, jika salah dia tetap didakwa seperti mana-mana orang lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kes melibatkan individu berjawatan tinggi bukan perkara baharu dalam sistem perundangan negara dengan merujuk kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, pada 2001.

Menurutnya, Rahim Noor ketika itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan sebelum mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan.

Dalam perkembangan sama, Kamal Hisham berkata, mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000.

“Pihak pembelaan sebelum itu mengemukakan hujahan supaya Mohd Shuhaily diberikan jaminan secara lisan, namun mahkamah menetapkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

“Mahkamah telah menetapkan jamin sebanyak RM3,000 untuk kedua-dua kesalahan, RM1,500 dan RM1,500,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan bahawa proses perundangan berjalan dengan layanan yang sama seperti terhadap individu lain.

“Mahkamah telah memberi layanan yang sama seperti orang-orang lain,” katanya.

Kamal Hisham turut menyatakan keyakinan bahawa kes berkenaan akan melalui proses perbicaraan yang adil.

“Saya percaya bahawa perbicaraan ini akan dijalankan dengan adil dan saya sebagai pengamal undang-undang nampak sampai tahap ini semuanya berjalan lancar seperti mana yang dikehendaki oleh rakyat,” katanya.

Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin bertindak sebagai peguam pemerhati bagi kedua-dua anggota berkenaan bagi memastikan hak mereka sebagai pengadu terpelihara sepanjang proses perundangan.

Sebelum, Mohd Shuhaily, 54, berdepan dua pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan dua anggota Cawangan Khas, Mohammad Faiz Muhamad Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman, di Terminal 1 KLIA pada 28 September lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah keatas kedua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap Mohd Shuhaily, dengan RM1,500 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqilah Ahmad Rofaie.

Mohd Shuhaily pula diwakili pasukan sembilan peguam, antaranya Datuk Rosal Azimin Ahmad, Kitson Foong dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Mahkamah telah menetapkan 25 November ini untuk penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button