Pengarah syarikat didenda RM10,000 ugut bunuh peguam isteri
GEORGETOWN – Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh seorang peguam wanita bulan lalu.
Tertuduh, Heng Hua Kian, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi yang turut memerintahkan hukuman penjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Heng didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang peguam berusia 36 tahun dengan menghantar mesej berunsur ancaman pada petang 29 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana ugutan tersebut menyebabkan mangsa mengalami trauma dan ketakutan.
Sementara itu, peguam bela tertuduh, Koay Chun Hian, memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga, menjaga ibu bapa dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya kini sedang melalui proses perceraian dan menerima rawatan psikiatri. Dia berada dalam tekanan emosi yang teruk ketika kejadian berlaku,” katanya kepada mahkamah.
Chun Hian turut berkata, pengakuan bersalah itu menjimatkan masa dan kos mahkamah selain anak guamnya memohon maaf kepada mangsa atas trauma yang dialami.
Difahamkan, mangsa merupakan peguam yang mewakili isteri tertuduh dalam kes perceraian pasangan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








