BERITA SEMASA

Pemandu lori roro dicekup cubaan buang sampah di tapak haram di Dengkil

DENGKIL – Sebuah lori roro yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pembuangan sampah haram berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Mukim Dengkil, Daerah Sepang, malam tadi.

Operasi bermula jam 5 petang itu melibatkan kerjasama Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang bersama Unit Kawalan Sampah Haram Majlis Perbandaran Sepang (MPS) susulan aduan berulang daripada penduduk berkaitan aktiviti pembuangan dan pembakaran sampah secara haram yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Pemandu lori roro dicekup cubaan buang sampah di tapak haram di Dengkil

Menurut kenyataan PDT Sepang, rondaan dan intipan dilakukan di beberapa lokasi dikenal pasti sekitar Dengkil, sebelum satu lori roro dikesan memasuki kawasan pembuangan sampah haram berhampiran Lot 128742, belakang Taman Jed kira-kira pukul 9.30 malam.

“Penguat kuasa MPS dan PDT Sepang bertindak menahan lori terbabit manakala sebuah lagi lori dipercayai turut terlibat sempat melarikan diri di Jalan Lombong Revolusi Hijau.

“Tindakan sitaan terhadap lori yang berjaya ditahan telah dilakukan oleh pihak MPS,” kata kenyataan itu, hari ini.

Hasil pemerhatian awal juga mendapati terdapat kesan sampah baru yang dibuang serta sebahagian kawasan telah diratakan, dipercayai bagi memudahkan aktiviti pelupusan haram tersebut.

Menurut PDT Sepang, pemantauan dan intipan secara berkala akan terus dilaksanakan bagi mengekang kegiatan tidak bertanggungjawab itu daripada berterusan.

“Pihak kami amat menghargai maklumat yang disalurkan oleh orang ramai dan menyeru agar sebarang aduan awam terus dikemukakan bagi membantu menyelesaikan isu berhubung sampah haram demi kesejahteraan komuniti,” jelas kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button