Laluan rosak jejas operasi kutipan sampah — ADUN Sungai Ramal

KAJANG — Keadaan laluan menuju ke tapak pembuangan sampah di Tanjong 12 menjadi perhatian selepas beberapa lori sampah dilaporkan mengalami kerosakan serius, akibat permukaan jalan yang rosak teruk.
ADUN Sungai Ramal, Shafie Ngah berkata, kerosakan laluan tersebut menjejaskan jadual kutipan sampah di Selangor kerana kenderaan berat yang melalui kawasan itu setiap hari berdepan risiko kerosakan dan kelewatan.

Menurutnya, aduan daripada kontraktor sebelum ini melibatkan kes patah gandar dan kerosakan komponen lori, namun insiden terbaru menunjukkan keadaan jalan semakin meruncing.
“Dalam sidang Dewan yang lepas, saya sudah memperingatkan kerajaan negeri untuk membaik pulih laluan ini dengan segera.
“Statusnya memang segera kerana ia melibatkan lori-lori sampah yang menggunakan laluan tersebut setiap hari,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Shafie berkata, jawapan kerajaan negeri sebelum ini seperti ‘sudah dibaiki’, ‘sentiasa dipantau’ dan ‘akan ambil tindakan’ tidak menyelesaikan masalah kerana keadaan jalan kekal rosak dan membahayakan pemandu.
“Saya sendiri melihat keadaan jalan itu. Ia sangat teruk. Kerajaan negeri perlu bertindak lebih tegas, bukan sekadar memberikan jawapan umum,” katanya lagi.
Beliau berharap tindakan segera dapat dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi kutipan sampah serta menjamin keselamatan pemandu lori yang bergantung kepada laluan berkenaan setiap hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








