34 individu ditemui dalam operasi Carilamat Langkawi, 14 maut, 20 selamat
LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang digerakkan Maritim Malaysia bersama beberapa agensi lain di perairan Langkawi berjaya menemui 34 individu, termasuk 14 yang meninggal dunia dan 20 yang terselamat
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi Carilamat dijalankan dengan kekuatan seramai 177 anggota melibatkan Maritim Malaysia, Tentera Laut, Polis Marin, Bomba dan Jabatan Perikanan.
“Fokus utama operasi adalah menyelamatkan nyawa, manakala urusan perundangan dan siasatan akan dijalankan secara selari ,” katanya di sini hari ini.
Beliau memaklumkan pihak berkuasa juga berhubung rapat dengan Thailand selepas pihak berkuasa negara itu mengesahkan penemuan tujuh mayat di perairan mereka.
“Semua mangsa yang terselamat telah menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala mayat dibedah siasat di Hospital Sultanah Maliha Langkawi,” katanya lagi.
Menurut beliau, kawasan perairan Langkawi merupakan destinasi pendaratan popular, dengan 217 kes direkodkan tahun ini berbanding hanya 11 pada 2023.
Sehubungan itu, semua agensi keselamatan telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan, termasuk penggunaan helikopter baharu, kapal mothership, kapal pengawal pesisir (OPV), bot, dron dan radar bagi memperkukuh pengawasan maritim.
Saifuddin turut berkata, individu yang ditemui dipercayai dibawa dari kem pelarian menggunakan mothership sebelum dipindahkan ke bot kecil.
“Insiden terbaru berlaku berhampiran Tarutao, Thailand, kira-kira 4 hingga 5 batu nautika dari sempadan Malaysia, sebelum arus laut membawa mangsa ke perairan negara,” katanya lagi.
Beliau menegaskan polis akan mengenal pasti lokasi terakhir pendaratan, jumlah penumpang sebenar, tujuan kedatangan mereka, serta sama ada aktiviti itu melibatkan sindiket pemerdagangan manusia atau jenayah terancang.
“Semua mangsa ditemui merupakan warga Myanmar, termasuk dari kampung yang diusir dan kem pelarian. Pihak berkuasa akan meneliti pecahan etnik sebenar melalui siasatan lanjut.
“Buat masa ini, kita belum menggunakan istilah pelarian secara rasmi. Kita hanya merujuk mereka sebagai individu yang ditemui sehingga siasatan selesai,” katanta lagi.
Saifuddin turut memuji komitmen semua pasukan penguatkuasa yang bertungkus-lumus menubuhkan pusat operasi lengkap dengan peralatan canggih, membolehkan penjejakan arus laut dan lokasi potensi penemuan mangsa.
Sidang media turut disertai Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Avu Shah, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Rosli Abdullah, OCPD Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin dan Pengarah Maritim Malaysia Kedah, Laksamana Maritim, Romli Mustafa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








