BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Nelayan hilang ditemui selamat di perairan Kemasin

KOTA BHARU – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot fiber miliknya mengalami kerosakan enjin dan hanyut di perairan Pantai Kemasin, Bachok dekat sini kelmarin, ditemukan selamat pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.30 malam pada Isnin lalu selepas orang awam memaklumkan terdapat sebuah bot fiber yang hanyut kira-kira satu batu nautika dari pantai berkenaan.

Berikutan itu, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat dengan penglibatan aset Maritim Malaysia serta bantuan agensi lain pada malam yang sama.

“Pada jam 10.30 pagi semalam, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Kelantan menerima makluman bahawa mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat.

“Difahamkan, mangsa berjaya menghidupkan semula enjin botnya sebelum kembali ke Jeti Pasar Nelayan Sabak dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu menasihatkan komuniti nelayan supaya sentiasa memastikan peralatan bot berada dalam keadaan baik selain membawa jaket keselamatan, peralatan komunikasi dan Suar Penentu Lokasi Peribadi (PLB) bagi memudahkan pengesanan sekiranya berlaku kecemasan di laut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button