LIMA 2025: Pengunjung reruai Maritim Malaysia berpeluang rasai pengalaman sertai operasi banteras jenayah
LANGKAWI – Buat julung kali, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menampilkan teknologi Augmented Reality (AR) di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang bermula esok.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penggunaan teknologi itu adalah bagi mendekatkan orang ramai dengan dunia penguatkuasaan maritim negara.
“Dengan bertemakan “Mendekati Komuniti Melalui Teknologi Interaktif”, reruai Maritim Malaysia dijangka menjadi lokasi wajib singgah bagi pelawat korporat serta pengunjung tempatan dan antarabangsa yang ingin merasai sendiri pengalaman berkenaan tugas dan cabaran anggota Maritim Malaysia di laut.
“Tarikan utama reruai Maritim Malaysia pada kali ini adalah AR di mana pengunjung hanya perlu mengimbas di dinding reruai bagi melihat paparan maklumat dan imej interaktif berbentuk tiga dimensi (3D),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan walkabout bagi melihat persiapan akhir Maritim Malaysia sebelum hari sebenar acara berkenaan berlangsung.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Selain itu, katanya, Maritim Malaysia turut membawa Virtual Reality (VR) iaitu simulasi aksi penguatkuasaan yang ‘membawa’ pengunjung bersama anggota Maritim Malaysia menjalankan operasi membanteras jenayah dan melakukan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).
Sementara itu Mohd Rosli berkata, model table top aset-aset Maritim Malaysia dalam bentuk miniature yang memaparkan kedudukan kapal-kapal peronda dan aset operasi agensi itu di seluruh perairan negara turut dipamerkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








