41 kadet UMPSA terima pangkat Leftenan Muda PASKAM Siri Pertama
GAMBANG – Seramai 41 kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima pemakaian pangkat Leftenan Muda Siri Pertama dalam Majlis Tamat Latihan Siri 1/2023 yang berlangsung di Dewan Astaka, Kampus Gambang, kelmarin.
Majlis penuh istiadat itu disempurnakan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab.

Menurut Mazlan, penubuhan PASKAM di institusi pengajian tinggi adalah langkah strategik untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai tanggungjawab dan peranan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara.
“Keselamatan perairan negara adalah amanah bersama. PASKAM bukan sekadar latihan, tetapi platform membentuk jati diri, disiplin dan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Latihan PASKAM UMPSA dilaksanakan dengan kerjasama Cawangan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM), Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMPSA.

Modul latihan merangkumi aspek disiplin, kepimpinan, pengurusan masa dan kerja berpasukan selaras dengan nilai teras Maritim Malaysia.
Pada majlis itu, tiga kadet turut menerima Anugerah Kadet Terbaik PASKAM Siri 1/2023 iaitu Leftenan Muda PASKAM Nurwaldan Wasiq Khairul Nizar (Keseluruhan), Leftenan Muda PASKAM Muhammad Amirul Hakim Bizun (Latihan Luar) dan Leftenan Muda PASKAM Eeswarri Mani Wanan (Akademik).
Majlis turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ts Dr Mohd Rusllim Mohamed; Ketua Pendaftar, Datuk Saiful Bahri Ahmad Bakarim serta Pengarah Sumber Manusia Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Mohd Hamzah Murgayah Abdullah.
Turut hadir pegawai kanan Maritim Malaysia, pengurusan universiti dan ahli keluarga kadet.
Kejayaan itu menandakan permulaan kukuh usaha Maritim Negeri Pahang dalam memupuk kesedaran maritim dalam kalangan mahasiswa, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








