Mayat kanak-kanak lelaki lemas ditemukan terdampar di pantai Tanjung Buloh
KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan maut dipercayai akibat lemas di Pantai Tanjung Buloh, di sini, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, mangsa, Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul, ditemukan di pesisir pantai kira-kira pukul 10.26 malam tadi, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 tengah hari memaklumkan kejadian tiga kanak-kanak dilaporkan hilang ketika mandi di pantai itu sebelum operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan.
“Bagaimanapun dua daripada mereka berjaya diselamatkan nelayan tempatan dan orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian, manakala operasi mencari seorang lagi mangsa diteruskan sehingga berjaya ditemukan malam tadi, sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pelbagai agensi terbabit dalam operasi ini, iaitu polis, bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Mohd Najib berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi di pantai atau menjalankan aktiviti air jika cuaca buruk, ombak kuat atau arus deras.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








