BERITA SEMASA

13 penuntut UMPSA berdepan detik cemas, bas dinaiki langgar belakang treler

KUANTAN – Penumpang sebuah bas ekspres yang turut dinaiki seramai 13 penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat Maran, awal pagi tadi.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, kesemua pelajar dalam perjalanan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke kampus di Gambang, sebelum bas berkenaan terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi.

“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dan semua pelajar telah selamat tiba di kampus sekitar jam 4 pagi menaiki bas ganti yang disediakan oleh pihak pengusaha bas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pelajar yang tiba di Masjid UMPSA Gambang turut disantuni dengan bantuan segera oleh pihak universiti termasuk penyediaan makanan, sokongan emosi serta penginapan sementara kepada tujuh pelajar yang menetap di kampus Pekan.

Operasi menyantuni pelajar diketuai oleh Pengerusi Institusi Kefeloan UMPSA, Nasrul Salim Pakheri bersama Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Haykal Halid.

“UMPSA turut menyediakan pek bantuan mengandungi makanan segera dan keperluan asas bagi memastikan kebajikan pelajar terus terjaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, memaklumkan kejadian berlaku apabila bas yang dipandu lelaki berusia 38 tahun di lorong kiri telah melanggar bahagian belakang treler yang bergerak di laluan sama.

“Seramai 28 penumpang bas dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu treler berusia 40 tahun dan kelindannya berusia 25 tahun juga tidak mengalami kecederaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button