Operasi mencari kru jet ski berdepan kesukaran susulan cuaca kurang baik
LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat seorang kru jet ski yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Tepor, di sini semalam berdepan kesukaran susulan keadaan cuaca kurang baik di perairan berkenaan.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, kelajuan angin di kawasan operasi dilaporkan antara 40 hingga 50 kilometer sejam serta ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.
Jelas beliau, terdapat juga kejadian ribut petir di beberapa lokasi di sekitar radius pencarian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika membaiki sebuah jet ski itu diaktifkan selepas Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pukul 8.20 malam tadi.
“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.12 malam di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika Timur Laut Pulau Tepor,” katanya, hari ini.
Sebaik menerima laporan, berkata, aset Maritim Malaysia (APMM) iaitu Petir 81 telah diatur gerak ke lokasi kejadian pada pukul 8.55 malam tadi bagi melaksanakan pencarian awal.
“Usaha pencarian turut dibantu oleh beberapa kru jet ski yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai,” jelas beliau.
Operasi pencarian diteruskan bermula pukul 8 pagi tadi dengan pembahagian tiga sektor pencarian melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 2.54 batu nautika persegi.
“Bagi menyelaras operasi secara lebih berkesan, satu Pusat Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di kawasan Pantai Tengah berhampiran Hidden Langkawi. Operasi hari ini melibatkan tiga aset laut pelbagai agensi iaitu Bot Penyelamat 5 milik APMM, Bot Kevlar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Bot RIB APM,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















