
14 kapal, 2 pesawat milik Maritim Malaysia berkawal di Laut China Selatan
KOTA KINABALU – Sebanyak 14 buah kapal dan dua pesawat udara jenis amphibious dan AW milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan dikerah untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara khususnya di Laut China Selatan.
Pelaksanaan Eksesais Maritim Perkasa Timur kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjadi platform utama bagi menguji kecekapan warga Maritim Malaysia dan kesiapsiagaan agensi ini dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara khususnya di Laut China Selatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kawalan itu dibuat melalui pelaksanaan Eksesais Maritim Perkasa Timur yang bermula pada 28 Oktober sehingga 4 November ini.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi menyediakan pegawai dan anggota Maritim Malaysia agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim.
“Kalau kita tengok sekarang yang kita nak jaga ialah di perairan Sabah dulu dengan Sarawak. Seperti semua sedia maklum, agensi ini bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia di Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Untuk kali ini kita fokus pada Laut China Selatan, pantai barat Sabah dan Sarawak.
“Jika ada pelanggaran jenayah di laut kita akan ambil tindakan tangkap dan bawa ke mahkamah. Dalam aspek itu juga kita menunjukkan kehadiran cegah rintang yang mana merupakan satu elemen yang penting untuk menjaga perairan negara. Kena ingat, kerana negara kita ada banyak hasil untuk negara. Ada banyak industri. Contohnya industri petroleum dan industri gas asli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Jeti Sabah Port Sdn. Bhd. Kota Kinabalu di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
Dalam pada itu katanya, eksesais ini melibatkan 652 orang warga Maritim Malaysia.
Mengulas lanjut katanya, eksesais itu berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama iaitu Fasa Pelabuhan yang diadakan bermula pada 28 Oktober sehingga 29 Oktober 2023.
“Setelah melepasi fasa berkenaan, pegawai dan anggota yang terlibat dalam eksesais ini akan melaksanakan fasa kedua iaitu Fasa Laut pada 30 Oktober hingga 3 November 2023. Pada peringkat ini, aset-aset agensi akan melaksanakan eksesais di perairan Kota Kinabalu, GSP, Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum seterusnya diakhiri di kawasan Perairan Kuching.
“Fasa terakhir bagi eksesais ini merupakan Fasa Pasca Eksesais. Pada fasa ini sesi post mortem dan rumusan akan dilaksanakan di Pejabat Maritim Negeri Sarawak pada 3 dan 4 November 2023,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








